Sunday, April 21, 2013

★ Peranan Moderator Dalam Pembentukan Komuniti Siber ★


Komuniti siber
Komuniti siber adalah suatu sistem sosial yang bersifat terbuka dan tiada sempadan. Komuniti siber mempunyai kelebihan dan kebolehan yang tersendiri dalam penyelesaian masalah dan pembentukan pengetahuan yang baru. Ada sesetengah pihak juga berpendapat bahawa pada suatu  masa kelak komuniti fizikal yang wujud pada masa ini berkemungkinan akan digantikan oleh komuniti siber.

Menurut Preece (2001), menyatakan komuniti siber digambarkan sebagai masyarakat yang berhubungan di antara satu sama lain, menolong orang lain dalam penyelesaian masalah dan satu perhubungan yang bersifat mesra dan menyakinkan. Manakala untuk sesetengah orang lain pula, memberikan gambaran negatif seperti satu perhubungan yang berbentuk konspirasi, bersifat subversif, jenayah dan pencerobohan terhadap peribadi seseorang. 

MODERATOR

Moderator dianggap sebagai ketua dalam sesuatu komuniti siber dan mempunyai peranan yang tertentu bagi memastikan keharmonian perhubungan antara ahli komuniti siber. Moderator juga memainkan peranan yang penting dalam menentukan hala tuju dan pengekalan hayat komuniti sibernya. Peranan moderator adalah sebagai seseorang yang memberikan : 
i) Motivasi, 
ii) Sokongan, bimbingan, galakkan dan dorongan, 
iiiSebagai ketua perbincangan, 
iv) Membantu pelajar di dalam meningkatkan kemahiran berkomunikasi, membimbing sesuatu perbincangan supaya berada pada landasan yang betul dan, 
v) Sebagai fasilitator kepada topik perbincangan.

Moderator bersidangan secara online biasanya melibatkan kuasa dan tanggungjawab yang agak khusus iaitu samada secara teknikal atau sebagai pembantu kepada ahli di dalam komuniti tersebut. Peranan moderator adalah gabungan beberapa elemen iaitu sebagai : 
i) seorang guru, 
ii) Pengacara, 
iii) Fasilitator dan,
iv) Penganjur komuniti.

Feenberg (1987) menyatakan sebagai ketua terhadap perbincangan online, mereka hendaklah mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam menguruskan kumpulan komunikasi, di mana peranannya akan mengikut susunan nilai dan norma yang sebenarnya. Beliau seterusnya menyatakan disebabkan kemajuan dalam teknologi komunikasi yang semakin berkembang yang melibatkan telepersidangan berkomputer dalam pembelajaran jarak jauh dan juga untuk pembelajaran setempat, ia memerlukan kemahiran, rekabentuk yang sistematik, pengurusan dan perancangan yang mencukupi untuk sesuatu persidangan itu berjaya sepenuhnya. Oleh yang demikian moderator memainkan peranan yang besar dalam menentukan sesuatu komuniti siber itu bertahan lama dan kewujudannya masih mendapat perhatian ramai. Keselesaan yang dirasai sebagai ahli komuniti siber akan menyebabkan keinginan untuk meningkatkan kemajuan komuniti siber mereka.

No comments:

Post a Comment