Friday, April 19, 2013

★ Jauhi Gangguan Seksual . Sexual Harassment ★


Apa itu Gangguan Seksual ???


Gangguan seksual melibatkan kata-kata yang berunsur lucah dan mempunyai hasrat terselindung untuk melakukan seks, termasuk merogol . Ia juga merupakan salah satu bentuk diskriminasi yang melibatkan penghinaan, penganiayaan dan kelakuan yang mengancam pihak yang terlibat oleh seseorang atau sekumpulan orang kerana hendak memenuhi keinginan seksual mereka. Ganggguan seksual merangkumi segala pertuturan, tingkah laku, sentuhan fizikal, isyarat secara berulang-ulang yang berunsur seksual. Perlakuan-perlakuan ini termasuklah sentuhan badan yang tidak diingini, paksaan mengadakan dating dan pujuk rayu supaya melakukan hubungan seks atau menampal gambar-gambar lucah.


Siapakah yang terdedah dengan ancaman seksual ?
Tanpa disedari banyak pihak yang terdedah dengan ancaman seksual, antaranya :
- Kanak-kanak
- Remaja Perempuan
- Wanita 
Perangkaan daripada tinjauan yang dibuat oleh Pusat Kesedaran Wanita (WCC) Pulau Pinang menunjukkan bahawa masalah remaja perempuan terdedah dengan gangguan seksual kini berada pada peringkat membimbangkan. Fakta yang diperolehi oleh WCC daripada survey ke atas 100 pelajar perempuan 15 hingga 17 tahun :
1. 80% mengakui menerima panggilan atau SMS daripada orang yang tidak dikenali
2. 54% Pelajar terlibat berhubung dengan orang yang tidak dikenali menerusi internet 
3. 36% Diganggu dengan unsur lucah di laman sosial
Perangkaan tersebut menunjukkan kebanyakan remaja perempuan itu terdedah kepada ancaman seks melalui panggilan telefon, SMS, MMS dan laman sosial. Mereka yang melakukannya ancaman itu pula terdiri daripada rakan lelaki dan lelaki yang tidak dikenali selain kekasih remaja wanita terbabit. 

Namun begitu, Kementerian Sumber Manusia (1999) mengkategorikan bentuk-bentuk gangguan seksual kepada lima jenis utama, iaitu :
1. Gangguan Secara Lisan : kata-kata, komen, gurauan, usikan, bunyi-bunyian dan soalan-soalan yang berbentuk ancaman atau ancaman seksual. 

2. Gangguan Secara Isyarat : isyarat atau bukan lisan yang dilakukan berdasarkan pandangan atau kerlingan yang membayangkan sesuatu niat atau keinginan, menjilat bibir, memegang atau memakan makanan dengan cara menggoda, isyarat tangan atau bahasa isyarat yang membayangkan perlakuan seks dan tingkahlaku mengurat yang berterusan. 

3. Gangguan Secara Visual : bahan-bahan lucah, melukis gambar lucah, menulis surat berunsur seksual, mendedahkan bahagian badan yang sulit yang tidak sepatutnya. 
4. Gangguan Secara Psikologi : mengulangi jemputan sosial yang telah ditolak, memujuk rayu secara berterusan untuk keluar bersama atau bercumbu. 
5. Gangguan Secara Fizikal : sentuhan yang tidak diingini, menepuk, mencubit, mengusap dan menggesel badan, memeluk, mencium dan membuat serangan seksual seperti meraba.


Gangguan seksual tidak boleh dipersepsikan sebagai masalah peribadi dalam sesebuah organisasi. Masalah ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia melibatkan masa depan mangsa dan juga imej organisasi. Oleh itu,  kepada sesiapa yang pernah mengalami situasi seperti yang dinyatakan , diharap anda bijak membela diri dengan mendapatkan bantuan di :

i) Woman Aids Organization (WAO) : www.wao.org.my/
ii) All Woman's Action Society (AWAM) : http://www.awam.org.my/
iii) Woman's Centre for Change  : http://www.wccpenang.org/
iv) The Bestfrienders Kuala Lumpur : http://www.befrienders.org.my/
v) One Stop Crisis Centre (OSCC) : http://www.osccmy.org/


Sejauhmana remaja dan wanita yang telah menjadi mangsa ini tampil ke hadapan pihak berwajib membuat aduan ? Sama-samalah kita membantu mereka agar hak mereka terbela. Mereka perlu dilindungi . Semua masyarakat perlu prihatin dan sentiasa 'alert' dalam apa jua situasi .

* Peka dengan persekitaran kita .

No comments:

Post a Comment